Baru baca halaman pertama buku, mata sudah rasa seperti ada gam yang melekat di sekeliling kelopak mata. Mengantuk dan akhirnya tertidur selepas membaca beberapa halaman buku adalah satu fenomena yang sering berlaku di kalangan masyarakat kita. Tidak semua orang mengantuk ketika membaca buku. Pakar percaya terdapat pelbagai sebab mengapa orang mungkin mengantuk semasa membaca. Salah satu yang menjadi punca adalah warna kontra antara tulisan berwarna hitam dan helaian kertas berwarna putih.
Aktiviti membaca memerlukan pergerakan mata yang tetap dan fokus seperti mata anda mengikuti setiap frasa di seluruh halaman. Ia juga memerlukan kuasa otak untuk menafsirkan huruf-huruf yang dilihat oleh mata dan mengubahnya menjadi perkataan, ayat dan perenggan. Apabila otak dan otot mata bekerja keras, ia secara semulajadi memberi isyarat bahawa tubuh badan memerlukan rehat yang menyebabkan mata perlahan-lahan tertutup dan akhirnya tertidur.
Jika anda memilih untuk membaca ketika waktu tidur, kemungkinan minda dan badan anda sudah letih dan sudah tiba masanya untuk tidur. Jadi pilihlah waktu yang sesuai untuk membaca buku. Ketahuilah bahawa terdapat beberapa tips untuk memastikan bahawa aanda tidak mengantuk ketika membaca buku. Diantaranya ialah :
1. Pastikan niat dan tujuan untuk membaca
Pastinya di dunia ini tidak ada suatu perkara yang mudah. Semua terasa berat apabila ianya baru bermula untuk diamalkan apatah lagi untuk menjadikan ia satu rutin harian. Sebenarnya anda perlu untuk merancang apa tujuan dan kebaikan membaca. Sesetengah orang berfikiran bahawa membaca adalah satu perkara yang membebankan kerana ianya membosankan, tidak menarik dan faktor kemalasan yang menebal.
Ketahuilah bahawa jika anda mengantuk dengan cepat semasa membaca tetapi apabila menutup buku menyebabkan rasa mengantuk tersebut hilang. Teruskan untuk menguatkan diri, mencari motivasi dan juga memastikan niat anda betul sebelum membaca.
2. Posisi yang betul saat membaca
Apabila anda membaca buku, pastinya anda akan mencari lokasi yang selesa seperti di bilik tidur atau sofa kegemaran anda. Jika anda memang suka membaca buku sambil berbaring di atas tilam pasti anda akan mengantuk kerana tilam juga merupakan tempat untuk anda tidur. Apabila saat keseluruhan badan anda berada dalam keadaan berehat dan pada kedudukan yang selesa pasti membuatkan otot anda sering terikut dan menyebabkan anda boleh tidur dengan mudah.
Ketika membaca pastikan jarak antara mata dengan buku kira-kira 30 cm. Duduk dalam kedudukan yang tegak dan jangan terlalu santai kerana ia boleh membuatkan anda mengantuk dan menjadi malas. Gunakan lampu tambahan untuk mengurangkan ketegangan mata. Pastikan keadaan suhu di sekitar kawasan tidak terlalu panas. Membaca dalam persekitaran yang terlalu panas boleh membuat anda mengantuk. Pastikan anda duduk dengan betul dan fokus!
3. Mandi serta sediakan makanan dan minuman ringan saat membaca
Kembalikan kesegaran badan anda sebelum memulakan aktiviti membaca dengan mandi air sejuk. Apabila tubuh badan segar ia dapat merangsang otak untuk menjadi lebih cerdas. Membaca sambil bersulamkan dengan aktiviti lain seperti makan dan minum yang ringan boleh membantu anda mengelakkan rasa mengantuk. Cuba minum minuman yang mengandungi kafein seperti kopi atau teh. Untuk makanan pula, boleh dihidangkan biskut kering yang dapat dicicah bersama air.
Elakkan makanan berat seperti nasi saat anda sedang membaca. Ini adalah pencetus untuk membuatkan tubuh badan anda berasa lebih mengantuk. Air kosong juga perlu diminum untuk mengembalikan kecergasan badan dan kecerdasan minda.
4. Bijak menguruskan masa
"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr : Ayat 1-3.
Anda perlu memberi perhatian dalam melakukan tugas harian sama ada anda membaca, menulis, menonton TV dan pelbagai aktiviti yang lain. Cuba buat jadual rutin agar semua aktiviti yang dilakukan menjadi lebih berkesan.
Membaca pada masa yang tepat adalah perlu diperhatikan. Sebenarnya tidak ada masalah jika anda mahu membaca pada bila-bila masa sahaja. Namun apa yang anda harus tekankan di sini adalah keberkesanan bacaan itu sendiri. Sebagai contoh, apabila anda membaca ketika waktu lewat malam, adakah anda ingat atau faham perkara yang anda baca itu.
5. Rehat yang cukup
Tenangkan minda dan pastikan anda berada dalam keadaan santai, jangan tergesa-gesa untuk membaca hanya kerana anda mahu menghabiskan bacaan anda dengan masa yang begitu pantas. Ia bukannya satu pertandingan. Apabila tubuh badan anda mula berasa letih, berhenti membaca untuk seketika dan cuba berehat kerana ketika membaca mata anda bekerja dengan keras. Sebagai contoh, jika anda menetapkan tempoh membaca buku adalah selama 1 jam. Rehatlah seketika setelah 30 minit anda membacanya. Sambung semula bacaan tersebut setelah anda rehat dengan cukup sekurang-kurangnya 10 minit.
Bangsa membaca adalah bangsa berjaya!
Source : Zayan
Source : Zayan
No comments:
Post a Comment