Pada era serba canggih ini semua urusan boleh dilakukan melalui dalam talian terutamanya urus niaga dan perbankan. Ekoran perkembangan ini, masyarakat bijak mengambil peluang untuk menambahkan pendapatan dengan melakukan perniagaan dalam talian atau dikenali sebagai perniagaan elektronik (e-niaga). Kaedah perniagaan ini membenarkan peniaga menawarkan barangan dan perkhidmatan melalui Internet atau ICT. Peniaga dan pelanggan tidak perlu bersemuka dan boleh berada beribu-ribu batu jauhnya kerana perniagaan ini hanya menggunakan Internet sebagai medium perantaraan. Perniagaan dalam talian kini semakin meningkat dari hari ke hari dalam kalangan rakyat Malaysia kerana terdapat pelbagai kebaikan terhadap peniaga dan pelanggan.
Muda-mudi kini tidak gemar untuk bekerja makan gaji dengan waktu kerja tetap. Mereka mula menceburi perniagaan dalam talian kerana lebih mengutamakan waktu kerja yang lebih bebas. Namun, terdapat juga individu yang memiliki pekerjaan tetap turut melibatkan diri dalam perniagaan ini secara sambilan. Mereka hanya perlu memeriksa tempahan pelanggan pada waktu rehat atau selepas waktu kerja. Golongan pelajar juga antara golongan yang mulai berjinak-jinak dengan urus niaga dalam talian bertujuan mendapatkan wang sampingan untuk menampung perbelanjaan seperti makanan dan buku yang kian meningkat harga.
Antara kebaikan perniagaan dalam talian ialah mudah dimulakan dan dijalankan dengan kos yang rendah. Hal ini demikian kerana kos sewa kedai dan kos ubah suai bangunan dapat dikurangkan melalui perniagaan dalam talian berbanding dengan kos perniagaan konvensional. Malahan, para peniaga dalam talian dapat menguruskan perniagaan tanpa perlu mengupah banyak pekerja.
Perniagaan ini juga dikatakan berisiko rendah kerana para peniaga tidak perlu mengeluarkan sumber kewangan yang tinggi untuk membeli atau menyewa aset seperti bangunan, peralatan dan kelengkapan lain. Penjimatan tersebut boleh digunakan untuk membeli stok, kos reka cipta laman web dan sebagainya.
Perniagaan dalam talian turut memberikan peluang kepada peniaga dalam talian beroperasi selama 24 jam setiap hari. Teknologi yang canggih kini membolehkan pengguna Internet membeli-belah dalam talian pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Tambahan lagi, masyarakat kini terlalu sibuk dengan pekerjaan sehingga tiada masa untuk membeli-belah walaupun pada hujung minggu.
Malahan, peniaga tidak perlu memantau urusan tempahan sepanjang masa. Mereka hanya perlu menyediakan sistem tempahan automatik untuk kemudahan pelanggan seterusnya menguruskan urusan penghantaran tempahan sebaik sahaja pejabat pos dibuka. Justeru, peniaga yang memilih kaedah perniagaan ini dapat menikmati kebebasan atau fleksibiliti waktu kerja tanpa menjejaskan sumber pendapatan tetap masing-masing.
Peniaga juga dapat menikmati kebebasan tempat bekerja kerana hanya perlu mengawal segala urus niaga melalui komputer dari mana-mana tempat seperti di rumah, di restoran atau dalam perjalanan ke sesuatu tempat mahupun ketika sedang melancong di dalam atau di luar negara asalkan mempunyai akses Internet. Pendek kata, tiada had masa mahupun kekangan jika seseorang berminat memulakan satu perusahaan dalam talian. Kecil atau besar, sambilan atau sepenuh masa, semuanya terletak dalam tangan sendiri.
Di samping itu, peniaga boleh mencari pelanggan dengan mudah. Pelanggan bagi perniagaan dalam talian yang sibuk akan menggunakan kemudahan yang ditawarkan. Mereka tidak tidak perlu meninggalkan rumah atau pejabat di samping menjimatkan minyak dan masa perjalanan ke kedai menjadi antara tarikan utama perniagaan dalam talian terus menjadi pilihan ramai. Pelanggan boleh menempah dan tunggu barang tersebut sampai di depan pintu. Contohnya, makanan, pakaian, mencuci kediaman, memindah barang, menyelenggara peralatan elektrik dan lain-lain.
Perkembangan ini telah mewujudkan industri peluang pekerjaan seperti penghantar barang (runner). Malahan, beberapa pasar raya utama telah mewujudkan kemudahan tempahan barang keperluan secara dalam talian dengan penghantaran percuma.
Bagi pihak pelanggan pula, mereka memperoleh barangan dan perkhidmatan dengan kos yang rendah. Hal ini demikian kerana peniaga menjual barangan dan perkhidmatan pada kadar yang rendah. Urus niaga elektronik memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat barangan dan perkhidmatan. Pelanggan dari seluruh dunia melalui dapat akses maklumat pemasaran dan maklumat produk yang dihantar oleh pengeluar dan ejen melalui Internet. Keadaan ini lebih memudahkan pembelian sesuatu barangan pada harga yang berpatutan dan murah. Pelanggan akan mendapat maklumat yang tepat sebelum membeli sesuatu barangan.
Selain itu, pelanggan dapat menjimatkan masa. Masyarakat kini terlalu sibuk dengan pekerjaan dan keluarga sehingga tiada masa untuk membeli-belah walaupun pada hujung minggu. Pelanggan tidak perlu meninggalkan rumah atau pejabat di samping menjimatkan minyak dan masa perjalanan ke kedai menjadi. Ini menjadi tarikan utama pelanggan perniagaan dalam talian yang cuma membuat tempahan dan menunggu barang tersebut sampai di depan pintu rumah. Golongan ini dapat membeli produk yang dijual seperti pakaian, produk kecantikan dan sebagainya daripada talian zalora, lazada, 11 street, Shoppe, FashionValet dan sebagainya.
Namun begitu, di sebalik kelebihan yang diperoleh peniaga dan pelanggan, terdapat juga kelemahan perniagaan dalam talian. Terdapat beberapa senario terhadap peniaga dan pelanggan. Misalnya, risiko jaminan kualiti apabila barang yang dibeli tidak menepati kehendak pelanggan. Selain itu, saiz barang, warna dan gambaran barang sebenar mungkin berbeza seperti dalam katalog. Pelanggan yang kecewa terpaksa akur apabila sudah menerima barang tersebut. Terdapat juga golongan yang tidak amanah dengan mengambil kesempatan menipu dalam urusan jual beli dalam talian. Akibatnya, banyak kes penipuan Internet telah dilaporkan sejak akhir-akhir ini. Malahan, pelanggan terdedah dengan penipuan seperti pesanan berbeza daripada barangan yang diterima, bermutu rendah dan caj yang mahal daripada harga yang tertera dalam iklan serta pelbagai kes lain. Ini sangat membimbangkan para pelanggan dalam talian.
Oleh hal demikian, setiap pelanggan tidak boleh terburu-buru ketika hendak membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan. Sebaik-baiknya pelanggan perlu membuat semakan terlebih dahulu mengenai status syarikat sama ada berdaftar atau tidak. Pelanggan boleh mengesahkan alamat perniagaan mahupun nombor lesen perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Jika terdapat unsur-unsur penipuan, pelanggan boleh melaporkan dengan segera kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Akhir sekali, pelanggan perlu memberikan perhatian kepada kaedah pembayaran yang ditetapkan.
Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, pelanggan juga boleh merujuk dan membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekiranya menjadi mangsa tipu atau memfailkan tuntutan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan selanjutnya. Pelanggan perlu menyimpan segala dokumen seperti resit transaksi, nombor telefon atau apa-apa dokumen sebagai bukti untuk dikemukakan di TTPM bagi mendapatkan tuntutan ganti rugi.
Menyedari hakikat kelemahan perniagaan dalam talian, KPDNKK dengan kerjasama SKMM bertindak menghalang akses ke laman web atau mengarahkankan pentadbir media Internet dan tapak pasar yang terlibat untuk menurunkan kandungan-kandungan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM 1998) sekiranya didapati berlaku penipuan di laman media sosial seperti facebook, twitter dan instagram dan tapak pasar malam dalam talian yang tidak bertanggungjawab.
Kesimpulannya, perniagaan dalam talian mempermudahkan urus niaga bukan sahaja untuk peniaga malahan kepada pelanggan sendiri. Dengan bantuan dan pemantauan kerajaan, perniagaan dalam talian dapat melahirkan lebih banyak jutawan dan memudahkan urusan harian rakyat di seluruh negara. Walau bagaimanapun, perniagaan dalam talian tidak dapat menggantikan sepenuhnya perniagaan konvensional tetapi dalam tempoh singkat perkembangan industri ini sudah berjaya mengatasi perniagaan biasa.
No comments:
Post a Comment